Pages

Thursday, November 17, 2011

Kesilapan Guru Dalam Mendidik Murid Sekolah Rendah


Maaf saya ucapkan, jika tajuk ini sudah menimbulkan satu goresan pada hati para guru.Sabar, bacalah sehingga akhir, supaya hati itu lega tanpa retak sebelum masa. Saya akui, subjek guru dan pendidik sering ditulis dengan perkataan berjasa dan mulia. Tetapi kali ini, saya ingin menulis tentang kesilapan yang dilakukan oleh para guru supaya ia menjadi teladan untuk pembaikan. Baca dengan sangkaan baik, supaya ia mendatangkan manafaat.

Kesilapan Guru Dalam Mendidik Kanak-Kanak

1. Bahasa yang kasar dan biadap.

Penggunaan bahasa biadap dan kasar, terutama kepada pelajar sekolah rendah, memberi impak yang besar terhadap pembinaan minda pelajar. Guru-guru harus sedar, penderaan melalui bahasa dan komunikasi menghasilkan satu pukulan yang lebih teruk berbanding penderaan fizikal. Saya akui, konsep denda adalah salah satu cara psikologi yang boleh diguna pakai dalam mendidik. Malangnya, penggunaan perkataan yang biadap dan kasar sama sekali tidak tepat bahkan ia jauh dari nilai Islam.

"Bodoh"
"Lembab"
"Tolol"
"Auta"

Pelajar sekolah rendah, disekitar umur 6-12 tahun, adalah satu tempoh masa yang sensitif dalam proses pembinaan minda mereka. Saat ini, pelajar masih diperingkat "mula" berfikir dan faham. Sesetengah pelajar, masih lagi teragak-agak, takut, tiada keyakinan, tidak faham dan sedang memahami. Maka ia satu tempoh yang tidak wajar untuk dihukum dengan perkataan muktamad ataupun perkataan membunuh seperti ini.
Pemerhatian semasa disekolah rendah dahulu. Saya dapat melihat, satu perbezaan ketara pada corak pengunaan bahasa guru, berdasarkan peringkat kelas. Pelajar kelas nombor 1, bahasa yang digunakan oleh guru, sangat sopan, jarang menengking dan atau melenting. Pendek kata, nada suaranya sedap didengar.

Tetapi, berbeza dengan kelas-kelas yang tercorot kebelakang. Kalau ada suara guru meraung, menjerkah, mencerca. Semestinya ia datang dari kelas yang paling belakang. Kenapa begitu?

Jawapan yang kita biasa dengar ialah

"Anak murid itu kurang ajar!"

"Degil!"

"Budak perangai jahat!"

2. Kekasaran dan denda yang dilakukan secara terbuka.

Saya masih ingat, disekolah dahulu, siapa yang 'bodoh'. Akan disebut namanya di dataran sekolah. Manakala siapa yang 'cerdik' akan diberi hadiah dan pujian. Saya hairan, kenapa sistem seperti ini diamalkan di sekolah pada masa itu?

"supaya pelajar lebih berdisiplin?"
"Supaya pelajar takut dan akan serius?"

Isteri saya berkongsi kepada saya,tentang pengalamannya semasa disekolah. Katanya, guru besar sekolahnya sering mencerca pelajar 'bodoh' di dataran sekolah dengan kata-kata yang kesar dan biadap.

Apabila saya bertanya pada isteri saya, adakah kamu juga pernah ada kisah ngeri semasa sekolah rendah?

Katanya, dia pernah mengalami satu fasa,dimana dia tidak mahu ke sekolah, mencari jalan untuk ponteng. Atas sebab, takut. Dan yang paling mengejutkan, ketakutan itu bukan disebabkan guru memarahinya, tetapi akibat takut melihat perlakuan guru memarahi pelajar lain dengan cara yang amat 'luar' biasa bagi pelajar yang berumur 6-12 tahun.

3. Kesalahan dan hukuman muktamad, tanpa budi bicara.

Diperingkat sekolah rendah, pelajar masih lemah dalam mentafsirkan sebuah kesalahan, tidak semua perkara salah dilihat salah bagi mereka. Dan perkara yang penting perlu diingat, mereka mempunyai kelemahan dari segi penjelasan terhadap sesuatu perkara. Kerana, otak manusia pada peringat 6-10 tahun, adalah masih diperingkat awal dari segi perkembangan saraf percakapan. Bahasa mudahnya, mereka akan katakan pada kita, dengan bahasa yang paling mudah bagi dirinya. 
Malangnya, setiap kesalahan yang berlaku diberi hukuman tanpa mendengar penjelasan terlebih dahulu. Bahkan penjelasan yang dianggap 'lemah' oleh guru adalah muktamad bagi guru. Akhirnya, denda diberi tidak setimpal bahkan pelajar tersebut tidak bersalah. Apa kesan buruknya?

Di Amerika, pernah berlaku satu kes, seorang kanak-kanak perempuan didera sejak berumur 6 tahun sehingga berumur 12 tahun. Ayahnya mengalami sakit mental, begitu juga ibunya. kanak-kanak ini, sering didera atas kesalahan yang tidak dilakukannya. Dan pada umur 12 tahun, jenayah ibubapa ini terbongkar, dan tidak lama selepas itu, ayah membunuh diri. Si anak perempuan ini, telah dihantar ke pusat rawatan. Dan yang paling mengejutkan, kanak-kanak ini mengalami kecederaan mental yang sangat teruk iaitu, hilang keupayaan bercakap dengan betul. Tidak mampu mengenal sebarang objek melainkan dengan label. Hasil dari kajian, apabila kanak-kanak diberi tekanan diluar pada kemampuan kefahamannya secara ekstrim. Sarah-saraf neuron didalam otaknya terbantut ataupun mati, untuk sepanjang hidup!

Jika kanak-kanak mampu berkata-kata untuk memberi penjelasan apabila berlaku kesalahan, ia satu perkembangan yang baik. Tetapi malangnya, kita terbiasa dengan respons yang buruk terhadap mereka setelah mendengar. Seperti dengan mengatakan;

"Tipu!"
"Auta"
"Loyar buruk!"  

Disini adalah satu pukulan yang mampu memberi kecacatan pada minda kanak-kanak itu. Jika ia berlaku dengan berulang-ulang. Dari seorang yang mahu memberi penjelasan, akan bertukar menjadi pendiam. 

Saya kongsikan satu peristiwa yang memberi impak yang sangat besar terhadap saya ketika disekolah rendah, bahkan perkara tersebut hampir menguburkan masa depan saya.

Semasa darjah 1, di kelas saya mempunyai seorang pelajar nakal bernama Wahab, pelajar ini sering menganggu saya, mencakar muka, dan saya sering bergaduh dengannya. Apabila sering berlaku pergaduhan, ketua kelas akan melaporkan bahawa, saya dan Wahab, adalah pelajar yang sering membuat bising dan kekecohan. Akhirnya saya dihukum, dan alasan saya akan dibakul sampahkan. 

Tetapi pada suatu hari, ibu saya membuat kek dan menyuruh saya membawanya ke sekolah untuk dikongsi bersama kawan-kawan yang lain. Dan yang paling menarik, saya mengajak Wahab untuk menikmati kek tersebut. Dan saya masih ingat, ketika kami berjalan untuk makan di sebuah meja batu di hadapan kelas, tiba-tiba Wahab tersadung kaki sendiri, dan kepalanya terhantuk ke meja batu. Saya masih ingat, ada luka kecil dikepalanya, dan darah mengalir serta menitis dibajunya. Saya tergamang, dan pelajar lain datang mengerumini Wahab. Tiba-tiba Wahab mengeluarkan satu kenyataan yang mengejutkan saya;

"Zaim tolak aku!"

Saya terdiam, terkesima!

Tiba-tiba datang guru kelas, guru tersebut bertanya kepada Wahab, dan kemudian beliau datang menerpa saya, dengan bertanya

"Kenapa kamu buat macam tu?"

Saya hanya mampu menjawab, saya tak buat apa-apa.

"Bohong".

Lalu guru tersebut memegang kepala saya, dan menghantuk kepala saya ditingkap kelas. Saya terdiam dan terus diam.

Pada masa itu. Perkataan yang ada dalam minda ialah aku yang bersalah?

Saya tahu, saya tidak bersalah, tetapi bagaimana hendak aku ceritakan pada guru itu, bahawa aku tidak bersalah!

Bermula dari darjah 1, saya mengalami kemurungan dan hilang minat untuk ke sekolah. 

Itu satu kisah, yang saya rasa, agak ekstrim dan jarang berlaku. Tetapi, perkara yang berbeza boleh berlaku, tetapi dengan konsep yang sama, mampu memberi kecederaan pada minda kanak-kanak. Sejak dari situ, saya bertukar dari kanak-kanak yang fasih bercakap, kepada kanak-kanak yang tergagap-gagap ketika bercakap dihadapan orang ramai, dan sampailah saya berada ditingkatan 3, barulah saya mampu menceritakan peristiwa sebenar kepada ibu saya. Kerana perkara tersebut telah menjadi kes besar disekolah dan melibatkan ibubapa. Tetapi malangnya, pada masa itu, saya sudah bertukar menjadi seorang pendiam, apabila bertemu perkataan SEKOLAH.

Ibu pernah bertanya kepada saya

"Kenapa Zaim tak bagitahu awal-awal?"

Jawapan saya ialah

"Saya tidak tahu bagaimana hendak jelaskan perisitiwa itu, jalan pintas untuk hadapinya ialah redha sebagai seorang pesalah dan redha dengan hukuman"

Ada beberapa perkara yang saya ingin kongsikan lagi, tentang tip psikologi yang sensitif serta kesilapan yang sering berlaku di peringkat sekolah. Bagi saya, adalah satu kerugian besar, bagi kita umat Islam, akibat kesilapan dan kegagalan cara didikan semasa kanak-kanak. Kecederaan mental pada kanak-kanak mampu merosakan dirinya untuk sepanjang hayatnya. Berbeza dengan manusia di peringat remaja dan awal dewasa.

Sekolah merupakan menjadi tempat yang paling banyak masa kanak-kanak dihabiskan. Kesilapan yang sama jangan diulang.

Mungkin dilain waktu pula, kita berkongsi pandangan ini.

Salam Kasih Buat Para Murabbi.

wslm

5 comments:

Cikgu Munirah said...

Alhamdulillah... setelah membacanya saya dapat satu kesimpulan yang mungkin bukan muktamat tetapi bolehlah disimpulkan...

kecerdikan dan kepandaian kita bukan terletak pada tahap tingginya pendidikan tetapi pada aqal yang waras dan bijaksana...

syukran atas perkongsian dan peringatan buat para guru... namun masih banyak lagi faktor yang menjadi penyebab mengapa pelajar kurang terdidik seawal sekolah rendah... insyaAllah ada masa saya juga ingin berkongsi rasa jerih perih pengorbanan guru dan air mata...

salam tahun baru.

Anonymous said...

kok guru2 yang nak di salah kan..salahkan mak bapak lah..sebabnya pembangunan minda akhlak yang baik datangnya dari ibubapa yang baik.. baik baka baik lah benih.. guru sekadar membimbing dan mengajar pelajaran.. tetapi ibu bapa menjadi contoh dan idola anak.. buruk perangai ibu bapa maka buruk lah perangai anak2... ada faham kah...

LaRa said...

Salam.. saya suka sgt Post nie. sy nk minta izin nk copy dkt blog sy.. supaya org lain yang membaca pun setuju. Saya suka rekomen dkt org benda yg sy fikir terbaik dan berguna. Terima kasih.

safirah najlaa said...

saya pun mengalami pristiwa yg sama cuma berbeza..hingga mmbuatkan saya slalo ponteng ke sekolah...

Anonymous said...

Assalamualaikum.....terima kasih banyak2...selama ini saya seorg guru yang leka....insyaALLAH sy b,usaha lbh gigih utk agama,bangsa n negara...sy mtk izin utk copy deh.....