Menyumpahi Warna
Saya terlupa, pernah sekali seorang pembaca blog ini bertanya, kenapa blog ini memilih hijau sebagai namanya. Adakah kerana saya terlalu fanatik kepada PAS?
Saya tertarik untuk menjawab, tetapi saya biar jawapan itu terbiar kosong. Kali ini, saya ingin bercerita, kenapa saya jatuh hati kepada hijau.
Cinta pertama saya, bukan pada hijau, tetapi kepada biru dan merah, saya masih ingat, sejak dibangku sekolah rendah lagi, saya meminati pasukan bola Manchester United, pernah saya menangis, sebagai satu desakan kepada sepupu saya untuk membeli jersi merah Red Devil itu.
Bagaimana pula biru?
Saya cinta pada biru, kerana bagi saya biru itu unggul, rumah sukan Biru adalah yang paling unggul ketika di sekolah rendah dulu. Yang paling gagah, yang paling juara, dan yang paling meriah. Guru-guru rumah sukan itu, begitu luar biasa karismanya.
Tetapi, bagai ditimpa malang. Nasib saya ditakdirkan bersama rumah sukan hijau, sejak di bangku sekolah hingga ke sekolah menengah.
Saya benci hijau. Rumah hijau paling lemah, sering terperosok kedasar.
Namun ada satu peristiwa yang membuatkan saya berubah hati.
Peristiwa ini, berlaku ketika saya dalam darjah 6. Kisahnya begini, sekolah saya telah membina sebuah astaka yang besar, sebagai tempat untuk pelajar berehat sambil menunggu ibu bapa. Astaka itu dicat dengan warna hijau muda keputihan, beralaskan batu marmar putih.
Tetapi, pada suatu hari. Astaka yang baru siap dicap ini bertukar warna. Sedangkan cat hijau itu masih baru. Saya jadi pelik. Kenapa ditukar warnanya?
Astaka itu sudah berubah warna. Dari hijau yang lembut kepada biru yang pekat!
Tidak berapa lama kemudian, ditakdirkan oleh Allah, semasa di kawasan kelas. Saya terdengar perbualan seorang guru dengan seorang guru yang lain. Saya masih ingat, seorang guru itu bertanya, kenapa di cat sekali lagi astaka itu sedangkan catnya masih baru, bukankah itu membazir. Guru kedua menjawab.
“Guru besar kata, menteri tak suka warna hijau.”
Sekolah saya terletak di sebuah parlimen yang merupakan kubu kuat parti biru di Kelantan. Setiap kali ada program agenda parti biru untuk tumbangkan kerajaan hijau, sekolah saya jadi tapak pelancarannya.
Berbalik kepada dialog guru itu, saya terkejut. Sampai begitu sekali warna jadi celaka. Biar habis duit rakyat, asalkan warna itu bukan warna celaka. Saya pada saat itu dapat mengeyakan cakap-cakap orang hijau bahawa orang gerombolan begitu membazir dan tidak amanah. Saya sendiri pelik, kenapa otak budak darjah 6 pada masa itu, dapat berfungsi dengan baik.
Saya masih ingat, betapa semangatnya saya bercerita kisah ini pada makcik saya yang sedang menggoreng pisang nya di kedai.
Dari sini,saya biarkan anda untuk meneka bagaimana episod seterusnya. Bagaimana hijau jadi pilihan, bukan semata minat, tetapi mengerti tentang nilai.
Sekian.

2 comments:
saya juga suka hijau.. tapi xtau la mcm mane..hehe
ya... dulu ana dari kecik sampai ke besar rumah hijau.. sekali sekala beralih angin ke rumah merah... huhu tetapi pengakhiran sekolah tetap rumah hijau ^^
Post a Comment