Pages

Sunday, September 18, 2011

Foie gras, Lazat Dan Rosak

Foie gras, Lazat Dan Rosak

Foie gras with mustard seeds and green onion
Saya yakin, ramai yang tidak tahu, tentang apa itu Foie Gras. Saya sendiri tidak tahu, bagaimana cara sebutan yang betul untuk perkataan ini. Foie Gras, adalah perkataan yang berasal dari bahasa Perancis, yang bermaksud Fatty Liver. Mungkin pelajar perubatan beraggapan, Fatty Liver yang dimaksudkan ini ialah FLD (Fatty Liver Disease). 

Beza antara hati angsa normal dan selepas dijadikan Foie Gras
Foie Gras, ialah sejenis makanan eksklusif yang berasal dari Perancis dianggap sebagai delicacy, bahkan  sebagai makanan eksklusif bagi restoran bertaraf antarabangsa. Foie Gras ini dihasilkan dari hati itik atau angsa, tetapi dengan satu kaedah yang agak luar biasa kejam. Untuk menghasilkan Foie Gras, itik dan angsa ini perlu digemukkan dengan kaedah gavage(force feeding). Angsa ini diberi makan secara paksa. Iaitu dipaksa makan  2-4 kali sehari untuk 2-5 minggu bagi menghasilkan hati angsa yang mengalami penyakit Fatty Liver (Hati Berlemak). Hasilnya, hati angsa tersebut akan membesar 12 kali ganda dari saiz asal.

Sesetengah petani di Mesir juga turut mengamal teknik gavage ini, tetapi bukan untuk tujuan penghasilan Foie Gras, di Mesir, teknik ini dipanggil  تزغيط.

Sisi gelap dari makanan yang dianggap luar biasa mewah ini ialah, kezaliman dan kekejaman keatas binatang demi sebuah memuaskan nafsu manusia. Saya senaraikan, bagaimana kekejaman terhadap angsa ini berlaku.
Angsa mengalami pendarahan pada dubur dan ususnya
     1. Untuk memaksa angsa ini makan, tiub besi berukuran 20-30 cm panjang, dimasukkan kedalam  mulut angsa tersebut, bagi menyalurkan makanan.

   2.Pendarahan usus, dan buasir berlaku   kepada angsa tersebut. 

     3. Angsa tersebut tidak dapat tidur, kerana   kebanyakkan masa rehatnya dipenuhi dengan sesi paksaan makan.

      4. Kecederaan kepada saluran makanan.
                                                                             
      5. Bahkan ada angsa-angsa ini mati. Kerana lebihan makanan yang melampau.

Dan semua ini adalah dilakukan oleh manusia, semata-mata untuk medapatkan hati angsa yang berlemak. Makanan yang dianggap lazat, tetapi dihasilkan dari kekejaman.

Kita Juga Seperti Angsa Malang ini
Saya tertarik untuk melihat masalah makanan Foie Gras dari sudut iktibar dari teknik pelaksaannya. Teknik pelaksaan ini, menyebabkan saya terfikir ada 3 perkara yang perlu saya ambil iktibar.
  •      Berlebih-lebihan الغلو
  •      Hati yang berpenyakit
  •      Menderita dengan ‘nikmat’
Berlebihan-lebihan
Dari kisah Foie Gras, angsa diberi makanan yang melebihi keperluannya, bahkan menyebabkan dirinya terbunuh disebabkan lebihan itu. Puncannya dari berlebih-lebihan.
Bagaimana dalam kehidupan harian kita? 
Kita melampau dalam  berhibur
Kita melampau dalam  bekerja
Kita melampau dalam  berehat
Kita melampau dalam  beribadat
Kita melampau dalam  berdepan hakikat  ilmu.
Hakikatnya, setiap yang melampau, akan menghasilkan natijah yang buruk, hakta dalam perkara agama sekali pun, dalam  satu hadis, baginda pernah bersabda:
هلك المتنطعون 
Bermaksud: Binasalah golongan yang melampau

Baginda ulang ayat ini sebanyak 3 kali .Maksud المتنطعون ialah mereka yang melebihi had atau keterlaluan dalam perkataan dan perbuatan.

Kita dan si mangsa Foie Gras hanya ada sedikit perbezaan. 
Si Angsa dibunuh, dengan dipaksa menelan keperluan hidupnya sehingga hatinya rosak dengan lemak supaya enak untuk dinikmati manusia. Manakala kita manusia, dibunuh dengan  dipaksa menelan dunia sebanyak mungkin sehingga hati kita rosak dan enak untuk dinikmati syaitan.

Bahaya Virus Melampau Dalam Jemaah
Sesetengah di kalangan kita, yang baru terjun ke arena dakwah, terkadang mempunyai kerenah  keterlaluan. Biasanya, keterlaluan ini timbul akibat kegagalan dalam memahami kaedah dan uslub agama dan pada masa yang sama, dia melihat orang lain begitu sewenang-wenang dan sederhana dalam pelaksanaan.

Perasaan tidak puas hati ini mampu menjalar ke tahap memperlekeh dan memperkecilkan usaha orang lain, berbanding diri sendiri. Di peringkat ini, الغلو (berlebih-lebihan) bertukar kepada غرورا(penipuan). Hati sang dai mula tertipu dengan diri sendiri.

“Syok dengan diri sendiri”. Dari tertipu, hati kita mampu bertukar kepada peringkat yang lebih luar biasa rosaknya iaitu “التكبر” (takabur). Di peringkat ini, hati ini sudah seenak Foie Gras bagi orang Perancis.

Menderita Dengan ‘Nikmat’
 Ada diantara nikmat yang Allah kurniakan kepada manusia, mampu bertukar kepada bencana bagi orang-orang beriman. Antara nikmat yang mampu bertukar menjadi racun ialah isteri dan anak-anak. Disebut dalam Surah Al-Taghabun:


14. Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu, oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani

Daripada riwayat Ibnu Abbas, diturunkan ayat ini bersempena satu kaum di Mekah yang memeluk Islam tetapi isteri-isteri dan anak-anak mereka enggan turut serta apabila diajak untuk berhijrah ke Madinah. 

Dalam riwayat yang lain ,Imam Ibn Jarir mengemukakan riwayat daripada Atha’ Bin Yasar, katanya; surah al-Taghabun semuanya diturunkan di Mekah kecuali ayat ke-14 ini. Katanya, ayat ini diturunkan mengenai ‘Auf bin Malik al-Ashja’ie. Beliau mempunyai isteri dan anak. Bilamana ‘Auf hendak pergi ke medan perang, mereka menangis sambil menahannya agar jangan berangkat ke medan perang. Keluarganya berkata: 
“Kamu akan biarkan kami kepada siapa?”
Tangisan dan halangan ini, menyebabkan hati ‘Auf timbul rasa kasihan dan akhirnya tidak keluar ke medan perang. Lalu turun ayat ini.

Begitulah kisah dari sepotong ayat ini. Pernah dinyatakan dalam sebuah hadis. Rasulullah s.a.w bersabda:

“Umatku akan menempuh satu zaman dimana para suami akan dirosakkan oleh isteri dan anaknya. Mereka (kerap) mengejinya kerana kemiskinan. Lalu mereka (para suami) melakukan kerja-kerja jahat sehingga memusnahkan (diri) mereka.”

Akhir kalam
Saya sengaja mengulas masalah melampau dalam mendepani nikmat Allah khusus untuk para pendakwah, kerana saya yakin, ulasan mengkritik tentang lebihnya hiburan di televisyen sudah terlalu banyak. Tetapi jarang kita mendengar teguran buat mereka yang bertarung dilapangan dakwah.

Saya mengajak pembaca, merenung kembali kepada diri kita. Sejauh mana lazatnya hati kita untuk dimakan oleh syaitan?

Hati Lazat Yang Rosak



1 comments:

Nafsah Dulajis said...

Alhamdulillah, lembut tapi maksudnya sampai. Syukran utk info yang bermanfaat.
Lama x singgah sini kut...